Monday, July 24, 2006

Bosan

Apa tu bosan? Pernah rasa bosan tak? Bosan ni boleh hilang ke? Macam mana nak cari bosan? Bosan tu... jahat ke baik? Bosan tu best ke?
Aku pun tak tau makna bosan sehingga la aku benar-benar rasa takde benda nak buat ataupun lupa apa lagi tanggungjawab aku yang belum selesai. Otak menjadi kosong bila bosan. Fikiran menjadi kaku, tidak menghasilkan apa-apa idea yang boleh menjana minda untuk melakukan sesuatu. Bosan itu kan selalu ada. Selalu ada apabila segala mesin-mesin janakuasa idea di dalam otakku tiba-tiba ‘jem’ tanpa sebab yang munasabah. Tidak memikirkan apa yang akan dibuat dalam bila-bila masa yang akan datang. Memori kerja yang dimasukkan dalam bekas ‘masuk’ sudah hilang secara misterinya. Akhirnya kena marah sebab tidak melaksanakan apa yang diamanatkan kepadaku sebelum ini. Walaupun aku dah cakap aku nak buat secara sukarela, tetapi dibiarkan begitu lama dan akhirnya terlupa.
Sekarang ini memang aku dah bosan, dan inilah maksud bosan yang sebenarnya sehingga aku menulis karya yang amat membosankan untuk menghilangkan virus ‘Bosan.exe’ yang kian memakan memori-memori di dalam hardware otakku bait demi bait. Patutlah semakin hari semakin bengong disebabkan serangan virus misteri ini, dan proses menjana minda menjadi agak lambat dan lembab. Kadang kala terkeluar idea-idea yang bersifat ‘adware’ dan ‘spam’, itulah hal-hal remeh dan negatif yang menghalang aku daripada berfikiran positif, aktif dan kreatif, juga menjejaskan prestasi dan gred purata.
Dan perihal bosan ini menyebabkan aku ‘hibernate’ tak ikut masa, kadang kala ‘turn off’ terus. Walau bagaimanapun, aku akan cepat cergas apabila dikejutkan oleh orang lain lalu memberikanku ‘back-up’ memori yang mengandungi bahan-bahan terpadam tadi. Makanan juga merupakan ‘anti-virus’ untuk bosan. Melincirkan mesin-mesin janakuasa idea sekali gus menghapuskan virus bosan dalam setiap nanosaat. Dan ketika itulah meter keletihan hilang secara optimumnya dan diriku mula membuat kerja dengan sesuka hati. Baiklah, aku dah ingat balik apa yang aku kena buat tadi, jadi lebih baik aku hentikan karya ‘bosan’ yang agak terbelit-belit ini di sini sahaja.

No comments: